Ni apa ceritanya kat sini?

Kreativiti Filem Buatan iPhone 4

CHAN-WOOK memaksimumkan skil kreatifnya untuk
menghasilkan sebuah karya hebat menggunakan iPhone.

KEPELBAGAIAN fungsi yang ditawarkan peranti kecil iPhone keluaran Apple Inc. telah merevolusikan perkhidmatan mudah alih kepada masyarakat antarabangsa. 
Dari mel suara visual sehingga pemain media mudah alih dan Internet, peranti kecil itu tidak jemu menyediakan perkhidmatan pelbagai fungsi mudah alih di hujung jari untuk memudahkan kehidupan masyarakat hari ini.

Peranti kecil yang boleh digenggam tapak tangan dengan mudah itu telah membuka lembaran baru apabila pengarah terkenal Korea Selatan, Park Chan-wook, 48, dan adiknya, Park Chan-kyong, 46, berkolaborasi menghasilkan sebuah karya filem pendek berjudul Night Fishing.

Night Fishing dibikin sepenuhnya menggunakan iPhone 4 berkisar mengenai seorang lelaki separuh umur secara tidak sengaja telah menangkap pawang wanita muda dari sebuah takungan air ketika sedang asyik memancing di waktu malam.

Watak lelaki separuh umur berkenaan dijayakan pelakon terkenal, Oh Kwang-rok, 49, manakala pawang tersebut dilakonkan oleh bintang pop dan pelakon sensasi, Lee Jung-hyun, 31.

Walaupun rakaman karya tersebut hanya menggunakan iPhone, hasilnya amat mengujakan dengan babak-babak filem kelihatan begitu estetik malah mempunyai signatur Chan-wook yang mengenengahkan tema perihal kehidupan dan kematian.

Pengarah itu turut menyelitkan mengenai budaya kepawangan yang berlaku di Korea Selatan untuk tatapan audiens dalam karya pendek tersebut.

"Pada awalnya saya terfikir menjadikan karya tersebut untuk suka-suka sahaja tanpa banyak tekanan.

"Bagaimanapun, skala filem berkenaan menjadi besar berbanding apa yang saya jangkakan," kata Chan-wook pada tayangan perdana filemnya baru-baru ini.

Kelengkapan rumit

Bercerita mengenai skala filem pendek itu, adik-beradik Park tidak hanya menggunakan dua buah iPhone. Kerja mereka turut disertai kelengkapan pencahayaan dan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) serta peralatan produksi lain yang lebih rumit.

Penghasilan filem pendek Night Fishing menelan kos kira-kira AS$133,000 (RM407,628) dan mendapat dana daripada pengedar tunggal iPhone di Korea Selatan, KT Corp.

Syarikat telekomunikasi berkenaan berjaya menjual lebih daripada 1.8 juta set iPhone di negara terbabit dan telah menganjurkan festival filem yang menampilkan 12 filem pendek rakaman iPhone sepenuhnya pada tahun lalu.

"Saya sentiasa bekerja dalam produksi filem dengan modal yang besar. Ia sememangnya bukan sesuatu yang baru bagi diri saya.

"Saya rasa karya terbaru ini boleh menjadi contoh terbaik untuk menjelaskan kerjasama antara bidang seni dan syarikat yang tidak pernah terlibat dalam pembikinan filem," kata Chan-wook.

Sepanjang perjalanan filem itu, audiens akan melihat penggunaan warna dan visual hitam putih silih berganti mengikut kreativiti pembikin filem itu.

Apabila adegan waktu malam, rakaman akan dilakukan menggunakan warna hitam putih manakala babak di bawah permukaan air memperlihatkan tekstur kasar skrin.

"Ia merupakan hasil kedua-dua iPhone dan penghakiman artistik saya. iPhone mempunyai had tersendiri, malah pada satu tahap ia tidak boleh dielakkan daripada berlaku.

"Bagaimanapun, saya boleh memperbaiki keadaan itu dengan menggunakan peralatan lain dan melalui pencahayaan lebih terang. Saya sengaja membiarkannya kerana merasakan tekstur yang dihasilkan menepati tema kematian," ujar Chan-wook.

Saiz kompak

Chan-kyong pula memberitahu, penggambaran menjadi mudah apabila menggunakan iPhone yang bersaiz kompak.

"Kami boleh merakam filem melalui pelbagai telefon pada satu masa. Kami juga boleh memperoleh lebih banyak sudut kreatif dan pilihan dalam penyuntingan," katanya.

Walaupun Night Fishing bukan produksi berbajet rendah, Chan-kyong merasakan bahawa membikin filem-filem bermutu tinggi menggunakan iPhone dengan modal rendah tidak mustahil.

"Jika seorang pelajar tidak mempunyai peruntukan untuk menghasilkan filem pendek selama 10 minit, mereka boleh membikin filem tersebut menggunakan iPhone.

"Saya rasa mereka boleh melakukannya dengan satu persepuluh wang yang kami gunakan untuk menghasilkan Night Fishing," kata Chan-kyong.

Night Fishing telah ditayangkan di sembilan pawagam seluruh Korea Selatan bermula Januari 27 lalu.

Petikan : Kosmo! Online

No comments:

Post a Comment

Kalau sudi, jenguklah sini :)

Blog Ping

Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...