Ni apa ceritanya kat sini?

Inkues Teoh Beng Hock: 32 SMS Bahasa Cina Didedah

Gambar Hiasan 

KUALA LUMPUR: Kandungan 32 khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam bahasa Cina daripada telefon bimbit Teoh Beng Hock, yang tidak pernah diterjemah dan dibahaskan dalam inkues sebelum ini, didedahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu di sini, semalam.
Isi kandungan SMS itu diterjemahkan oleh jurubahasa Mandarin dan ia juga akan dianalisis semula bersama SMS lain dalam bahasa Melayu dan Inggeris oleh penyiasat persendirian bebas yang akan dilantik suruhanjaya itu. 
Antara SMS diterjemah yang menarik perhatian adalah diterima pada hari kematian Beng Hock pada 16 Julai 2009, daripada seseorang yang bimbang dengan keadaannya, berbunyi: “Beng Hock awak sudah popular, awak macam mana? Kami bimbangkan awak, sudah keluar nanti jangan lupa laporkan yang awak selamat.”
“Beng Hock apa khabar? Tadi ada orang mengatakan awak mati terjun bangunan, saya sangat takut dan buat saya terkejut. Selepas itu ada orang kata awak tak apa-apa, baru senang hati, harap awak tidak apa-apa, kak Lan.”
Kedua-dua SMS itu dibuka dari peti masuk telefon bimbit Beng Hock oleh individu tidak diketahui malah ada SMS yang menyatakan kehadiran pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tindakan mereka memeriksa komputer.
Sementara itu, Penolong Juru Analisis Seksyen Jenayah Komputer Makmal Forensik PDRM Cheras, Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan (atas), 29, berkata Beng Hock menerima panggilan terakhir pada jam 6.09 petang, 15 Julai 2009, manakala panggilan terakhir dibuat kepada majikannya, Ean Yong Hian Wah, pada jam 6.15 petang, hari yang sama.
Mohd Zaidi berkata, panggilan terakhir tidak dijawab direkodkan pada jam 5.19 petang, 15 Julai 2009, oleh Anggota Majlis Perbandaran Kajang, Lim Kee Hiong. 
Disoal mengenai siapa membuka dan membaca beberapa SMS selepas Beng Hock meninggal dunia, Mohd Zaidi menafikan beliau membacanya kerana beliau hanya mengeluarkan serta mencetak maklumat daripada telefon bimbit itu.
Terdahulu pada awal prosiding, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, beliau akan mengumumkan penyiasat persendirian bebas yang dilantik suruhanjaya untuk membantu siasatan pada hari ini.
Cheng Yuen berkata, pihak suruhanjaya juga akan menulis surat kepada syarikat telekomunikasi DIGI untuk hadir membantu siasatan berhubung rekod transaksi panggilan telefon bimbit Beng Hock.
Katanya, pihaknya juga sudah menghantar e-mel kepada pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dan pakar patologi Britain, Dr Peter Vanezis, untuk hadir sebagai saksi dalam suruhanjaya itu namun masih belum mendapat jawapan.
Cheng Yuen berkata, pihak suruhanjaya sudah menulis surat untuk mendapatkan khidmat pakar tulisan dari United Kingdom untuk pemeriksaan dokumen yang perlu.
Beliau turut menetapkan hari ini untuk memutuskan sama ada pakar psikiatri dilantik SPRM dan Majlis Peguam boleh menghadiri prosiding siasatan itu untuk pemerhatian terhadap saksi bagi menentukan keadaan minda Beng Hock sebelum kematiannya. Prosiding bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment

Kalau sudi, jenguklah sini :)

Blog Ping

Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...