Tweet |
KUALA LUMPUR: Bukit Aman mendedahkan faktor bahasa dan mudah untuk mendapatkan kepercayaan antara punca sindiket antarabangsa mengubah taktik kotor mereka dengan menggunakan ejen tempatan bagi merekrut rakyat negara ini sebagai keldai dadah.
Ini berikutan modus operandi mereka sebelum ini, yang menggunakan warga Afrika dan Asia Barat bagi memperdayakan rakyat tempatan terbongkar, sekali gus menyebabkan sindiket terbabit terdesak mengubah taktik.
Sindiket terbabit turut dikesan menggunakan Facebook dan pelbagai laman sosial popular lain bagi tujuan itu, dengan menjanjikan pelbagai imbuhan lumayan, termasuk percutian mewah ke luar negara sebagai helah memperdayakan mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata taktik baru itu dikesan dalam beberapa operasi sebelum ini, termasuk serbuan di Puchong, Selangor pada 2 Februari lalu yang berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an dipercayai ejen sindiket antarabangsa dari Afrika.
“Sebelum ini, tugas itu dilakukan warga Iran dan Nigeria. Bagaimanapun, selepas helah itu terbongkar, sindiket terbabit dikesan mendapatkan khidmat rakyat tempatan sebagai ejen mereka, selain menggunakan laman sosial seperti Facebook sebagai medium perhubungan.
“Melalui Facebook, ejen terbabit mula mengenali dan menjalinkan hubungan rapat dengan mangsa, seterusnya menabur pelbagai janji manis. Bila sudah mendapat kepercayaan, mangsa akan diperalatkan sebagai keldai dadah ke negara ketiga, malah ada di antara mangsa tidak mengetahui langsung mereka membawa dadah sehinggalah ditahan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Teori itu diperkukuhkan lagi dengan penahanan seorang lelaki Malaysia berusia 23 tahun ketika menyeludup keluar sejumlah besar kokain dari Argentina ke Qatar di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires akhir bulan lalu.
“Dalam soal siasat ke atasnya, suspek mendakwa dirinya diperdayakan oleh tiga warga Malaysia untuk ke Argentina bagi membawa balik bungkusan batu permata hitam ke negara ini tanpa disedari ia sebenarnya mengandungi dadah. Kita yakin tiga lelaki terbabit adalah ejen sindiket dadah antarabangsa di sini,” katanya.
Katanya, sepanjang tahun lalu saja, seramai 35 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan menyeludup dadah di seluruh dunia, dengan sebahagian besarnya mendakwa diperdayakan sindiket antarabangsa.
“Ini perkembangan yang membimbangkan walaupun perangkaan itu menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya membabitkan penahanan 54 warga kita,” katanya.
Sepanjang tahun lalu saja, beliau berkata, seramai 35 warga tempatan ditahan di seluruh dunia atas kesalahan menyeludup dadah, kebanyakannya gadis dan wanita, dengan sebahagian besarnya mendakwa diperalatkan oleh sindiket antarabangsa.
“Berbanding 2009 yang mencatatkan penahanan 54 warga tempatan atas kesalahan menyeludup dadah di luar negara, perangkaan tahun lalu menunjukkan penurunan yang amat ketara. Bagaimanapun, ia masih dianggap perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan perhatian sewajarnya oleh semua pihak,” katanya.
Petikan : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment