Tweet |
WAJAH anak sulung pasangan diraja Britain yang ditunjukkan kepada umum semalam. |
Wajah mirip Kate: William
London: Putera William dan isterinya, Kate, menunjukkan anak mereka yang baru lahir kepada umum untuk kali pertama semalam, disambut sorakan dan tepukan orang ramai.
Bercakap kepada wartawan yang menunggu di luar Hospital St Mary, William berkata, mereka masih mencari nama yang sesuai untuk bayi lelaki itu.
“Kami akan namakannya secepat mungkin,” katanya.
Kemunculan itu memang detik yang dinanti-nantikan media di seluruh dunia tetapi pasangan diraja itu tidak menampakkan sebarang tanda tertekan di depan berpuluh-puluh kamera yang ada.
WILLIAM dan Kate muncul untuk menunjukkan kepada umum anak mereka di luar Hospital St Mary. |
Sebaliknya, pasangan berusia 31 tahun itu ketawa dan bergurau dengan wartawan ketika mereka bergilir-gilir menggendong bayi berkenaan yang kelihatan tidur sepanjang sesi itu.
Kata William bayi itu memiliki wajah seperti Kate.
“Tetapi pastilah dia memiliki sepasang paru-paru seperti saya,” katanya.
Bayi itu adalah pewaris ketiga takhta monarki Britain selepas datuknya, Putera Charles dan William sendiri.
AKHBAR Britain memuatkan berita kelahiran bayi itu pada muka depan masing-masing. |
Untuk sementara perhatian media dan orang ramai adalah apa saja butiran daripada pasangan William - Kate, seperti perasaan mereka sehingga siapa yang bertanggungjawab menukar lampin bayi berkenaan.
Kate - tampil dengan pakaian ringkas di sisi William - berkata suaminya sudah melakukan tugasan itu sekali.
“Dia sangat mahir melakukannya,” katanya.
Ditanya perasaannya, Kate berkata, kelahiran bayi itu sangat menyentuh perasaannya dan amat istimewa.
“Saya rasa setiap ibu bapa tahu bagaimana perasaan itu,” katanya.
Mengenai rambut bayi berkenaan, William yang memang memiliki rambut jarang sempat berjenaka dengan berkata: “Saya bersyukur kerana rambutnya lebih lebat daripada saya.”
Suasana itu lebih santai berbanding detik Puteri Diana dan Charles membawa William untuk sesi fotografi di hospital sama pada 1982.
Dengan mengenakan kot gelap, tali leher dan bunga Charles bercakap kepada wartawan dengan suara yang canggung.
Sebaliknya William muncul dengan seluar jeans dan kemeja biru dengan lengan baju itu dilipat tinggi.
Pasangan itu masuk semula ke hospital berkenaan untuk meletakkan bayi itu ke dalam sebuah kereta sebelum muncul sekali lagi dan memasuki kereta Range Rover hitam.
Dengan William duduk di kerusi pemandu, mereka meninggalkan tempat berkenaan menuju sebuah apartmen di Istana Kensington untuk bermalam di situ.
Kelahiran bayi berkenaan adalah babak baru untuk William dan Kate yang menikmati hidup yang jauh daripada perhatian umum di Anglesey, Wales sejak berkahwin pada April 2011.
Terdahulu, bapa William, Charles dan isterinya Camilla serta ibu bapa Kate, Michael dan Carole Middleton melawat pasangan itu di hospital. [Sumber]
No comments:
Post a Comment