Tweet |
Isu Beg Timbulkan Kemarahan Rakyat
SINGAPURA: Gambar seorang pembantu rumah berjalan di belakang seorang askar sambil membawa beg galasnya, menyebabkan kemarahan rakyat Singapura selain menimbulkan kebimbangan bahawa rekrut dalam angkatan tentera republik itu terlalu dimanjakan.
Gambar itu yang disiarkan media Singapura dan dalam internet minggu ini menunjukkan seorang askar lelaki dengan pakaian seragam tentera dan but tempur berjalan di kaki lima.
Pembantu rumah askar itu pula mengekorinya di belakang dengan membawa beg galas tentera yang disandang di bahu kirinya.
Pelbagai reaksi diterima daripada gambar itu yang disiarkan buat kali pertama di laman Facebook. Ada pihak menganggapnya sebagai satu hiburan semata-mata tetapi ada pula yang marah dan mendakwa generasi tentera republik itu sekarang ‘terlalu lembut.’
“Di sebalik kejayaan setiap anggota Angkatan Tentera Singapura (SAF) adalah seorang pembantu rumah,” kata seorang pelayar internet di laman Twitter yang menamakan dirinya sebagai Chinteresting.
“SAF perlu mencari pembantu rumah berkenaan dengan segera dan memasukkannya dalam angkatan tentera. Dia seorang yang gagah,” kata seorang lagi pelayar dikenali Rod-Man14 di laman sama.
“Jika dia tidak mampu membawa begnya sendiri, bagaimana kita akan bergantung harap kepada askar seperti ini untuk mempertahankan Singapura,” kata Heavencry09 dalam ruangan forum portal berita xinmsn.
Singapura mewajibkan semua rakyat lelaki republik itu berusia 18 tahun menjalani latihan ketenteraan selama dua tahun.
Laporan berita menyiarkan kritikan dan latihan ketenteraan sekarang yang tidak tegas berbanding apa yang dihadapi generasi sebelum ini berikutan bantahan ibu bapa.
Penganalisis bagaimanapun berkata gambar berkenaan tidak mencerminkan angkatan tentera Singapura yang sebenar.
“Ini adalah satu insiden membabitkan seorang saja anggota tentera yang memang dimanjakan,” kata pakar hal-ehwal ketenteraan di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam, Bernard Loo. – AFP
Petikan: Berita Harian
No comments:
Post a Comment