Tweet |
MASALAH hendak bangun awal pagi sebenarnya satu masalah yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kita, tidak kira sama ada tujuannya hendak ke sekolah, pejabat, bermain golf atau menunaikan solat subuh.
Ini kerana disebabkan persekitaran yang masih gelap dengan suasana dingin ketika itu menyebabkan badan akan menjadi sangat malas untuk meninggalkan katil dan juga kain selimut yang memberi kenikmatan untuk terus menyambung tidur.
Disebabkan masalah itu juga, pelbagai cara digunakan oleh kebanyakan daripada kita untuk bangun awal pagi seperti menggunakan jam penggera, membuka lampu, mematikan penghawa dingin dan kipas seawal mungkin dan sebagainya.
Bagi yang terpaksa mengejutkan anak untuk ke sekolah atau suami yang liat untuk sembahyang subuh, pelbagai cara kreatif juga dilakukan seperti membunyikan radio atau televisyen dengan kuat atau ada juga yang memercikkan air ke muka yang tersayang.
Memandangkan masalah bangun pagi merupakan masalah masyarakat sejagat, maka pelbagai syarikat telah membangunkan pelbagai jenis jam penggera dan yang terkini ialah jam yang mampu mencerahkan bilik anda seperti ketika fajar menyinsing.
Philips misalnya baru-baru ini memperkenalkan penggera Wake-Up Light yang akan membuat simulasi seolah-olah cahaya fajar berada di bilik anda dan juga diiringi bunyi-bunyi alam yang mampu menyedarkan anda secara perlahan-lahan.
Anda juga boleh memilih pelbagai bunyi lain yang terdapat pada penggera itu atau memasukkan bunyi sendiri yang boleh dipindahkan melalui USB.
Jadi, sudah tentu anda boleh memulakan hari baru dengan bunyi anak bergelak ketawa, muzik kegemaran atau bunyi daripada apa yang anda rakam pada percutian terbaru anda.
Jam ini direka untuk membolehkan anda bangun dari tidur dengan rasa segar dan inspirasi bunyi-bunyi iyu boleh juga dimuat turun di laman web http://www.philips.co.uk/.
Tema bunyi tersebut dibahagikan kepada empat kategori iaitu bangun dengan bunyian alam, bangun dengan ketenangan, bangun dengan suasana kota dan bangun dengan perasaan bercuti.
Antara jenis bunyi yang anda boleh pilih ialah orkestra dari Afrika Savannah, desiran ombak di pantai, bunyi romantis dari Paris, atau bunyi dari 'hari yang bersemangat' dan sebagainya.
"Kajian menunjukkan kebanyakan pengguna ingin bangun apabila mendengar suara mereka sendiri," kata Daniel Adams, ahli terapi cahaya dan saintis kanan aplikasi di Philips. Untuk tujuan itu, anda boleh merakamkan suara anda sendiri dan pindahkan melalui USB.
"Di Philips, kami telah merancang pembangunan produk yang memudahkan dan sesuai dengan kehendak anda. Gabungan kelebihan penggera cahaya dengan memperibadikan bunyi yang menolong membangunkan anda itu akan memberikan proses bangun tidur yang sempurna kepada setiap individu," katanya.
Sementara itu, sebuah lagi syarikat yang mempunyai produk penggera cahaya diiringi bunyi ialah Lumie melalui produknya Bodyclock Active.
Ketua pegawai eksekutif Lumie, Jonathan Cridland berkata, Lumie telah mencipta penggera simulator menjelang waktu subuh ini pada 1993 dan menawarkan pelbagai jenis penggera yang mampu memberikan kesegaran kepada sesiapa yang ingin bangun dengan suasana selesa.
Katanya, penggera Bodyclock turut digunakan oleh atlet-atlet renang Britain yang membolehkan mereka bangun dengan segar bagi menjalani latihan pagi atau ketika menghadapi pertandingan.
Penggunaan penggera cahaya memberi kesan kepada manusia kerana hormon badan manusia akan memberi tindak balas kepada cahaya yang seterusnya mengurangkan hormon tidur (seperti melatonin) dan seterusnya meningkatkan hormon yang membolehkan anda bangun seperti hormon cortisol.
Kedua-dua produk penggera dari Philips dan Lumie ini sememangnya mempunyai beberapa ciri yang hampir sama seperti mempunyai radio FM, tema bunyi, tahap cahaya, ciri snooze dan sebagainya kerana matlamat produk itu adalah satu - membolehkan anda bangun dengan mudah dan segar setiap hari.
Petikan: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment