Ni apa ceritanya kat sini?

Belasah Tanpa Sebab


BANDAR BERA - Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini, mendakwa dibelasah guru sendiri di tengah padang sekolah tanpa sebab munasabah. 

Tuan Abdul Muizz Tuan Din, 16, berkata, guru terbabit bertindak memanggilnya ke padang sekolah lalu menampar, menumbuk dan menendangnya beberapa kali sebelum ditarik seorang guru lain bagi menenangkan keadaan. 

Menurutnya, guru berkenaan juga memberi amaran dan turut memarahinya dengan mengatakan dia seorang ‘gangster’ di sekolah, selain mengajaknya bergaduh di tempat lain. 

“Saya pun tidak faham kenapa cikgu tersebut tiba-tiba memarahi saya dan membelasah saya di depan kawan-kawan, sedangkan saya tidak berbuat salah apa-apa pun. 

“Saya malu diperlakukan begitu di depan kawan-kawan kerana saya tidak bersalah. Selain malu, sakit satu badan saya akibat ditumbuk cikgu berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Tuan Abdul Muizz berkata, sebelum kejadian, dia ada bergurau dengan pelajar tingkatan lima, tetapi tidak melibatkan apa-apa pergaduhan. 

“Sebelum ini saya tidak mempunyai apa-apa kesalahan di sekolah. Rekod saya pun elok, tetapi kejadian itu menjadikan saya seolah-olah trauma. 

“Mujur ada cikgu lain menarik saya daripada terus dibelasah cikgu itu, jika tidak, saya pun tidak dapat bayangkan akibatnya,” katanya. 

Kakak mangsa, Tuan Rohanita Tuan Din, 31, berkata, dia kecewa dan terkilan dengan sikap guru berkenaan yang bertindak di luar kawalan serta melanggar etika perguruan. 

“Sebagai guru, dia tidak boleh melakukan hal tersebut kepada pelajarnya. Bertindak membelasah pelajar di khalayak ramai jelas menunjukkan di bukan seorang pendidik yang baik, malah memberikan imej tidak baik terhadap profesionnya sebagai guru,” katanya. 

Sejurus kejadian tersebut, dia bertindak menghantar adiknya ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan berdasarkan laporan daripada doktor, tisu di bahagian perut adiknya terkoyak, selain tulang belakangnya bengkak. 

“Saya harap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi pada mana-mana pelajar lain kerana sebagai ahli keluarga, saya memang sedih dan kecewa dengan tindakan guru terbabit. 

“Adik saya turut melaporkan perkara tersebut di Balai Polis Bandar 32,” katanya. 

Ibu pelajar terbabit, Sapiah Ahmad, 52, berkata, dia sedih apabila anak bongsu daripada enam beradik itu diperlakukan sedemikian rupa. 

“Saya pun tidak pernah pukul anak saya, nak jentik sekalipun saya tidak reda, inikan pula memukul dia tanpa usul periksa. 

“Kalau betul anak saya bersalah, saya tidak kisah, tetapi apa salah anak saya ini sehingga cikgu berani membuat tindakan tersebut,” katanya. 

Suaminya, Tuan Din Tuan Ismail, 52, turut melahirkan rasa terkilan apabila guru terbabit tidak meminta maaf kepada keluarganya. 

“Saya tiap-tiap hari pergi ke sekolah itu menghantar barang ke kantin, tetapi cikgu itu tidak pernah datang jumpa saya dan meminta maaf terhadap kesalahannya itu. 

“Ini membuatkan saya rasa kecil hati dan sedih kerana sudahlah dia buat sedemikian kepada anak saya, tetapi tidak datang minta maaf,” katanya. 

Sehubungan itu, dia berharap guru berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya bagi menghalang kejadian seumpama itu berulang. 

Petikan: Sinar Harian



No comments:

Post a Comment

Kalau sudi, jenguklah sini :)

Blog Ping

Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...