Ni apa ceritanya kat sini?

Kate Tentukan Waris Takhta England

PERKAHWINAN diraja ala-Cinderella menjadi idaman dan fantasi ramai rakyat biasa di seluruh dunia. Bagi Catherine Elizabeth atau lebih dikenali Kate Middleton, 29, fantasi itu bakal menjadi realiti melalui perkahwinannya pada bulan hadapan dengan pewaris kedua takhta diraja England, Putera William. 

Mungkin ramai tidak menyangka melihat penampilan Kate yang sering kelihatan bergaya dengan fesyen terkini, bahawa dirinya cuma anak kepada sepasang rakyat biasa di England. 

Ibu bapanya, Michael Francis Middleton, 62, dan Carole Elizabeth, 56, dahulu bekerja sebagai kakitangan sektor penerbangan sebelum berkahwin pada 1980 dan melahirkan Kate pada 1982 yang disusuli adik-adiknya, Philippa Charlotte dan James William. 

Pasangan itu kemudian membuka perniagaan sendiri pada 1987 dengan menjual hiasan dan peralatan untuk majlis keraian bagi meningkatkan taraf hidup mereka. 

Keturunan sebelah bapa Kate banyak terlibat dengan perniagaan dan perbandaran di Leeds, sementara ibunya daripada keluarga buruh dan pelombong di daerah Durham. 

Walaupun tidak mempunyai darah kerabat diraja ataupun keturunan orang kaya, semua itu tidak menghalang mereka untuk mencapai kemewahan hidup yang membawa kepada jodoh Kate kepada William melalui satu pertemuan ringkas di Universiti St. Andrews pada 2001. 

Apa yang jelas, Kate mempunyai keayuan tersendiri yang nyata terserlah melalui perwatakan dan penampilan yang sentiasa anggun di sisi William, sama ada pada majlis rasmi mahupun santai. 

Gambar Kate dan adik-adiknya ketika kecil juga menunjukkan penampilan rupa seorang kanak-kanak yang comel tetapi sudah mempunyai keanggunan sebagai bakal ratu negara England. 

Keanggunan itu terus ditonjolkan sepanjang Kate membesar yang melihatkan kesopanan dan tata susila seorang wanita terhormat dalam semua situasi. 

Fantasi Cinderella yang dilalui Kate kini turut menyemarakkan lagi kegilaan dunia untuk mengikuti gaya pakaian, produk atau aktiviti yang dilakukannya bersama William. 

Ekonomi negara 'mat saleh' itu dijangka mampu menjana pendapatan besar dari dalam dan luar negara sepanjang dua tahun akan datang hasil daripada 'demam Kate Middleton'. Majlis perkahwinannya sahaja dijangka mampu menjana pendapatan berjumlah AS$1 bilion (RM3.06 bilion). 

Duit syiling khas keluaran Royal Mint kini mula dijual dengan harga hampir AS$16 (RM48.90) sekeping, manakala duit syiling emas pula dijual pada harga hampir AS$2,500 (RM7,650) sekeping. 

Sejumlah gaun biru yang dipakai Kate semasa pertunangannya di Kenya pada Oktober lalu juga habis dijual dalam tempoh 24 jam di London, sementara replika cincin pertunangannya turut menjadi rebutan ramai. 

Ekonomi London dan Britain secara umumnya dijangka akan mengalami pertumbuhan yang lebih pesat hasil penyatuan rakyat dan raja ini, sesuatu yang amat diperlukan penduduk England yang sedang pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia. 

Harapan ramai untuk melihat William melangkaui bapanya untuk mewarisi terus takhta Ratu Elizabeth II juga dilihat semakin kukuh dengan penerimaan umum terhadap Kate jauh lebih baik berbanding terhadap Camilla, isteri Charles. 

Dengan kedudukannya sebagai bakal ratu yang dekat di hati rakyat jelata, Kate mampu membantu merealisasikan keinginan penduduk England dan dunia yang mahukan William sebagai Raja England tanpa perlu memberi tekanan besar kepada Ratu Elizabeth II. 

Jika penerimaan rakyat terhadapnya terus meningkat, rakyat sendiri yang akan memberi tekanan kepada ratu dan istana. 

Kate yang tidak dibebani protokol darah bangsawan juga mempunyai pilihan cara hidup sendiri tanpa perlu berasa khuatir menerima nasib serupa dengan Diana yang sering dipaksa tunduk kepada kehendak ratu atau istana. 

Persoalannya, apakah pilihan hidup Kate? Sama ada menyokong William sebagai pengganti Ratu Elizabeth II atau mengajak suaminya menjalani kehidupan rakyat biasa, sementara memberi Charles peluang merasai kemegahan takhta bondanya. 

Yang pasti, pengaruh Kate Middleton selaku bakal ratu di kalangan penduduk England mungkin menjadi faktor penentu waris takhta dan arah tuju negara dan rakyatnya di abad ini kelak. 




No comments:

Post a Comment

Kalau sudi, jenguklah sini :)

Blog Ping

Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...