Tweet |
PIHAK pendakwa raya mendedahkan gambar mayat
Michael Jackson dalam sesi perbicaraan di Mahkamah
Tinggi Los Angeles kelmarin. - AFP
LOS ANGELES - Hujah pembukaan bermula kelmarin di sebuah mahkamah di sini dalam perbicaraan ke atas seorang doktor yang dituduh membunuh Raja Pop, Michael Jackson.
Seorang pendakwa raya menyatakan kepada juri bahawa penyanyi itu menyalahletakkan keyakinan terhadap doktor itu, Conrad Murray yang menyebabkan kematiannya.
Dalam bilik Mahkamah Tinggi Los Angeles, satu gambar mayat penyanyi itu di atas katil sebuah hospital didedahkan.
Satu audio rakaman penyanyi itu yang kelihatan seperti sudah diberi ubat yang kuat dua bulan sebelum kematiannya juga didedahkan.
Video rakaman Jackson melakukan latihan persembahan The Way You Make Me Feel sebelum kematiannya juga disiarkan.
Timbalan Peguam Daerah, David Walgren menyatakan kepada juri bahawa dia akan memperincikan apa yang berlaku pada beberapa jam terakhir kehidupan penyanyi tersebut, dari ketika dia meninggalkan latihan nyanyian sehingga kepada anggota-anggota paramedik dipanggil ke kediaman yang disewanya.
Jackson meninggal dunia disebabkan ubat pelali yang kuat, propofol yang berlebihan.
"Apa yang terjadi pada jangka masa itu adalah kerana perlakuan dan kecuaian doktor peribadi Michael Jakson, Conrad Murray secara langsung menyebabkan tanpa disangka-sangka kematiannya pada umur 50 tahun," kata Walgren.
Dia berkata, Jackson percaya kepada Murray sebagai doktornya.
"Kepercayaan yang disalahletakkan kepada Conrad Murray itu mengorbankan nyawa Michael Jackson," katanya lagi.
Sejumlah anggota keluarga Jackson berada di dalam kamar mahkamah termasuk bapanya, Joseph, ibu penyanyi tersebut, Katherine, kakaknya, La Toya dan abangnya, Jermaine.
La Toya Jackson membawa bunga matahari yang merupakan bunga kesukaan Jackson.
Murray tiba di mahkamah itu dengan memegang tangan ibunya.
Doktor itu mengaku tidak bersalah melakukan pembunuhan dengan tidak sengaja dan dia serta peguamnya menafikan memberikan Jackson sesuatu yang boleh menyebabkan penyanyi berkenaan mati.
Peguam Murray berhujah bahawa Jackson mati dengan cepat selepas mengambil dua ubat ketika doktornya keluar dari bilik di kediaman penyanyi tersebut, Holmby Hills pada 25 Jun 2009.
GAMBAR yang disiarkan di Mahkamah Tinggi
Los Angeles kelmarin menunjukkan imej doktor
Conrad Murray dan suntikan ubat propofol. - AFP
|
"Dia (Jackson) melakukan satu perbuatan tanpa pengetahuan doktornya, tanpa kebenaran doktornya, menentang arahannya.
"Dia (Jackson) melakukan satu perbuatan yang menyebabkan kematiannya sendiri," hujah peguam Murray, Ed Chernoff.
Peguam itu menyatakan bahawa Jackson mengambil lapan pil lorazepam yang mencukupi untuk menyebabkan enam orang tidur tanpa pengetahuan doktornya dan kemudian memberikannya satu tambahan dos ubat sedatif propofol yang kuat.
"Kombinasi dadah itu membunuhnya (Jackson) dengan cepat. Dia (Jackson) meninggal dunia dengan pantas. Dia (Jackson) tidak mempunyai masa untuk menutup matanya," kata Chernoff.
Murray, 58, akan berdepan hukuman empat tahun penjara jika didapati bersalah oleh juri yang terdiri daripada tujuh orang lelaki dan lima wanita kerana melakukan pembunuhan dengan tidak sengaja.
Dia dituduh memberikan Jackson dos propofol berlebihan yang Jackson gelarkan ubat itu sebagai susu untuk membantu mengurangkan masalah insomnia.
Murray pernah menafikan memberikan Jackson ubat propofol yang selalu digunakan sebagai ubat pelali dalam pembedahan.
Dia menangis pada satu ketika semasa sesi perbicaraan itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment