Tweet |
Kalau anda mahu menyaksikan drama paling menyedihkan, tunggulah tarikh 11 September.
Sejak 2001, tarikh itu akan dipenuhi berita dan paparan televisyen memperingati dan menekankan kesan serangan yang didakwa dilakukan pengganas ke atas negara paling berkuasa di dunia, Amerika Syarikat (AS).
Dan hari ini, tentunya sekali lagi kita menerima kedatangan 11 September, dan tentu juga, media AS mula menerbitkan pelbagai berita yang memerlukan anda menyediakan sekotak tisu untuk membacanya.
Tiada siapa menafikan serangan itu memang kejam dan tidak berperikemanusiaan, malah semua orang bersimpati dengan hampir 3,000 orang yang terbunuh dalam serangan itu.
Tetapi adakah AS mangsa sebenar serangan yang, secara sahihnya, tidak pernah dapat dibuktikan siapa dalangnya itu?
AS masih lagi berdiri teguh menjadi polis dunia seperti dulu, sesuatu yang bukan karakter seorang mangsa.
Tetapi kanak-kanak tanpa ibu bapa di Afghanistan, kemusnahan warisan sejarah dunia berusia ribuan tahun di Iraq, mangsa pengeboman berani mati di Pakistan dan penduduk Islam di AS yang didera secara mental kerana dipandang seperti pengganas, adalah mangsa sebenar tragedi 10 tahun lalu itu.
Perkataan Islamofobia, yang membawa maksud kegerunan atau ketakutan melampau terhadap Islam, hanya muncul selepas peristiwa malang itu.
Ya, malang, tetapi bukan malang buat AS; ia malang buat lebih satu bilion penganut Islam di dunia yang menjadi mangsa propaganda dunia Barat.
Tanda pertama menggambarkan tragedi 9/11 akan memberi kelebihan kepada pelbagai agenda Barat datang daripada mulut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, seperti dilaporkan New York Times pada 11 September 2001.
“Ianya (serangan itu) sangat bagus. Tidak, tidaklah sangat bagus, tetapi ia akan menghasilkan simpati dan mengukuhkan hubungan AS-Israel kerana kami (Israel) telah berhadapan keganasan selama puluhan tahun, kini AS pula merasainya sendiri,” kata pemimpin rejim itu.
Sejak detik itu juga, kita disogokkan dengan perkataan Osama Laden, Al-Qaeda, pengganas Islam dan banyak lagi sehinggakan penduduk Barat yang berfikiran sempit melihat semua orang Islam berjanggut sebagai pengebom berani mati.
Sehingga kini, AS telah membelanjakan lebih AS$3 trilion (RM9 trilion) untuk perang di Afghanistan dan Iraq. menurut penyelidikan pakar ekonomi, Joseph Stiglitz dan Linda Bilmes pada 2008.
Tentunya sesiapa pun yang waras tidak akan membelanjakan wang sebanyak itu untuk memburu hanya seorang lelaki, kecuali jika mereka tahu pelaburan itu akan memberikan pulangan jauh lebih lumayan, sesuatu yang juga bukan karakter bagi mangsa keganasan.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya, Che Det, sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa serangan itu bukan dilakukan oleh pengganas Islam seperti dicanang AS kerana beliau percaya orang Arab tidak mampu melakukan serangan sebegitu.
Dan jangan tidak tahu, selepas peristiwa 9/11, pelbagai usaha dijalankan pihak tertentu bagi memastikan dunia takut dan benci kepada orang Islam dan Arab, seperti didedahkan dalam laporan Pusat Pembangunan Amerika (CAP) yang bertajuk Fear Inc: The Roots of the Islamophobia Network in America.
Penduduk Islam di AS, sejak 10 tahun lalu, hidup menderita di bawah pengawasan terperinci pihak berkuasa, dicerca, diejek dan dipandang serong setiap kali melangkah keluar dari rumah.
Merekalah mangsa sebenar 9/11.
Kanak-kanak di Afghanistan yang dulunya bebas bermain bola sepak dan layang-layang, kini hanya mampu memerhatikan padang permainan mereka dihiasi lubang dalam dan serpihan bom.
Merekalah mangsa sebenar 9/11.
Lebih 290 pengeboman berani mati di Pakistan yang membunuh hampir 4,700 orang awam sejak AS mengisytiharkan perang terhadap keganasan membuktikan.
Merekalah mangsa sebenar 9/11.
Kita, orang Islam yang diberikan layanan khas di lapangan terbang hanya kerana nama kita atau bapa sama seperti Nabi Muhammad SAW, kita yang dirujuk sebagai pengganas setiap kali ke negara luar, kita yang hanya mampu melihat agama kita dicerca di pentas dunia.
Kitalah mangsa sebenar 9/11.
Petikan: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment