Tweet |
Seorang model menggunakan topeng tersebut semasa tidur. - Agensi
Topeng muka yang sebelum ini digunakan untuk menapis udara tercemar kini mampu mengecas telefon bimbit.
Seorang pencipta, Joco Paulo Lammoglia berjaya mencipta sejenis peralatan pintar dengan mengubah udara yang terhasil daripada paru-paru manusia kepada tenaga, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna telefon bimbit yang sebelum ini bergantung kepada tenaga elektrik.
Gajet yang diberi nama topeng AIRE itu, sebenarnya mengandungi turbin angin kecil, dan tenaga yang terhasil daripadanya dipindahkan melalui kabel ke peralatan elektronik pengguna.
Menurut pencipta yang berasal dari Rio de Janeiro, Brazil itu, topeng AIRE boleh digunakan dalam sebarang situasi sama ada semasa berlari mahu pun tidur.
''Ia boleh digunakan untuk aktiviti di dalam, mahu pun di luar sama ada ketika kita tidur, berjalan, berlari hatta membaca buku sekali pun.
''Selain menjimatkan tenaga, ia mampu membantu memelihara alam sekitar dan menggalakkan aktiviti bersenam.
''Tenaga yang terhasil daripada alat itu juga boleh didapati setiap 24 jam dan tujuh hari seminggu,''katanya.
Lammoglia berkata, walaupun kebanyakan gajet moden pada masa ini menawarkan banyak kemudahan kepada pengguna, namun ia masih terlalu bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik yang banyak.
''Justeru, dengan memanfaatkan tenaga yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti manusia dan menukarnya kepada tenaga elektrik adalah tidak mustahil, maka, ia merupakan penyelesaian yang baik (daripada terlalu bergantung kepada tenaga elektrik),'' katanya. - AGENSI
No comments:
Post a Comment