Tweet |
AKSI Wallenda ketika berjalan di atas tali kabel merentasi air terjun Niagara dari bahagian Amerika Syarikat hingga ke bahagian Kanada, malam semalam. |
Ahli akrobat ternama Nik Wallenda semalam menyelesaikan perjalanan pertamanya merentasi air terjun Niagara lebih daripada satu abad, dalam aksi berani melepasi angin kencang dan tempias air untuk mencatat detik bersejarah di dunia.
Puluhan ribu pengunjung membanjiri kedua-dua belah kawasan air terjun Niagara yang terletak di dua negara, Amerika Syarikat dan Kanada bagi menyaksikan Wallenda, 33, melakukan aksi berbahaya penuh debaran itu.
Perjalanannya di atas tali kabel sejauh 550 meter dan berketinggian 60 meter di atas limpahan air terjun yang terbesar di Amerika Utara itu mengambil masa 25 minit, kurang daripada waktu jangkaan iaitu 35 hingga 40 minit. Dia melompat turun dari tali kabel itu di bahagian Kanada kira-kira jam 10.40 malam waktu tempatan.
Acara lagak ngeri itu disiarkan stesen televisyen AS, ABC dengan waktu siaran tertunda lima minit.
Dengan bantuan galah panjang untuk mengimbangkan badan, Wallenda yang basah kuyup akibat tempias air begitu berhati-hati mengatur langkah di sepanjang tali kabel berkenaan.
Ahli akrobat itu turut membawa radio dua hala dan fon telinga baginya berkomunikasi dengan bapanya, Terry Troffer.
“Ya Tuhan, ia cukup hebat, amat tenang. Saya rasa sangat segar,” katanya sebaik dia memulakan perjalanannya.
Dia kemudian melaporkan tubuhnya sudah basah kuyup selepas terkena tempias air.
“Melawan angin bukannya mudah. Tangan saya kebas seperti sudah tiada rasa,” katanya kepada bapa sebelum diberi kata-kata semangat supaya meneruskan perjalanannya.
Penonton bersorak kegembiraan sebaik Wallenda selamat sampai ke bahagian penamat di Kanada.
Ketika sidang akhbar sebelum memulakan perjalanan, Wallenda berkata, dia sangat teruja untuk merealisasikan impian yang disimpannya sejak kecil itu.
Menurutnya, aksi lagak ngeri yang akan dilakukan pada masa depan ialah berjalan merentasi Grand Canyon di Arizona pula. [Sumber]
No comments:
Post a Comment