Tweet |
Kiyoshi Kimura bersama ikan tuna gergasi seberat 222 kilogram yang dibeli pada harga rekod RM5.6 juta di pasar besar Tsukiji, Tokyo, Jepun, semalam. |
TOKYO - Seekor ikan tuna sirip biru gergasi, memecahkan rekod apabila dijual pada harga tertinggi iaitu 155.4 juta yen (RM5.6 juta) dalam lelongan pertama tahun ini di pasar ikan Tsukiji, Jepun, hari ini.
Harga ikan tuna itu hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding rekod jualan tahun lalu iaitu 56.49 juta yen (RM2 juta) dalam lelongan yang turut diadakan di pasar besar sama.
Seorang pegawai di pasar itu berkata, lelongan ikan tuna seberat 222 kilogram yang ditangkap di luar perairan bandar Oma, utara Jepun itu, dimenangi oleh Presiden rangkaian restoran Sushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura yang juga pemenang lelongan tahun lalu.
"Saya mahu memenuhi harapan pelanggan saya yang ingin memakan tuna terbaik di Jepun tahun ini.
"Dengan ikan tuna terbaik ini, saya juga berharap dapat membantu menggembirakan rakyat Jepun," katanya yang dipetik oleh Jiji Press.
Berdasarkan harga jualan itu, daging ikan tuna tersebut bernilai kira-kira 700,000 yen (RM25,401) sekilogram, sementara satu hirisan sushi mungkin berharga 30,000 yen (RM1,089).
Namun, Kimura merancang untuk menjualnya pada kuantiti yang lebih kecil dengan harga yang realistik iaitu kira-kira 398 yen (RM14) untuk setiap potongan, lapor media tempatan.
Ikan tuna sirip biru sering menjadi ikan paling mahal di Tsukiji. [Sumber]
No comments:
Post a Comment