Tweet |
Huttenpalast (Istana Pondok) di Berlin, Jerman. |
Jika dulu peminat aktiviti perkhemahan banyak bergantung kepada cuaca, pembukaan taman karavan tertutup pertama di dunia kini memberi lebih banyak kemudahan untuk sesiapa yang berminat.
Pengalaman dalam hotel unik itu boleh dirasai sendiri di Berlin, apabila pelbagai jenis karavan klasik serta pondok kayu ditawarkan untuk pelanggan, termasuk di kalangan mereka yang cerewet.
Dikenali sebagai Huttenpalast (Istana Pondok) menampilkan semua ciri klasik yang ada pada sesebuah karavan, termasuk kawasan bersantai di luar dan lampu gantung di ‘pokok’ yang membantu penyewa bergerak di kawasan sekitar perkhemahan.
Huttenpalast lahir daripada idea Silke Lorenzen dan pereka hiasan dalaman, Sarah Vollmer, yang ingin membina sebuah hotel yang mengekalkan suasana serta pengalaman asal seperti tapak perkhemahan.
Ia terletak di bekas kilang pencuci hampa gas dan ditukar Silke dan Sarah sebagai ‘tapak perkhemahan’ menggunakan karavan serta kabin kayu.
Kata Silke, walaupun mahu mengekalkan ciri asal bangunan itu, mereka juga mencipta suasana yang mesra bagi membolehkan penghuninya saling bertemu.
Pada asalnya, kata Silke, mereka memikirkan bilik dengan konsep “bilik di dalam bilik” dengan menyediakan kabin kayu kecil di ruang tamu.
“Tetapi kami juga mahukan ruang luas bagi membolehkan ia dijadikan tempat pelbagai aktiviti.
“Kami memikirkan memasang roda di bawah kabin, tetapi kemudian tersedar bahawa memang ada kabin yang beroda, iaitu karavan,” katanya.
Tanpa membuang masa, kata Silke, mereka membeli tiga unit karavan.
Setiap kemudahan dalam karavan berkenaan ditanggalkan sebelum dihias semula dengan tema unik.
Satu daripadanya kini bertukar menjadi seperti kepompong yang hiasan dalaman kayu.
Satu lagi karavan pula dihias dengan begitu cantik dan dilengkapi katil yang bersaiz besar.
Seseorang yang ingin merasai pengalaman “perkhemahan bandar” itu dikenakan bayaran kira-kira RM250 satu malam. [Sumber]
No comments:
Post a Comment