Tweet |
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange sedang membuat persiapan untuk menghoskan program bual bicara berjudul 'The World Tomorrow', yang akan disiarkan menerusi rangkaian televisyen Rusia dibiayai kerajaan, minggu depan.
Assange dan RT, saluran berita satelit antarabangsa Bahasa Inggeris tidak mahu mendedahkan nama tetamu program terlebih dahulu, sebaliknya membayangkan bahawa temu bual pertama sudah pasti akan mencetuskan kontroversi.
WikiLeaks telah meminta pengikut akaun Twitternya meneka siapa kemungkinan tetamu sulung mereka.
Program yang dijadual dilancarkan Selasa ini mencetuskan tanda tanya dalam arena media, lapor CNN.
Pengulas-pengulas di luar Rusia mula mempersoalkan hubungan antara Assange dan Kremlin, memandangkan RT satu saluran televisyen yang dibiayai kerajaan.
Sehubungan itu, masih belum jelas bagaimana atau dari mana Assange, yang kini berada dalam tahanan rumah di United Kingdom sementara menanti keputusan berkenaan dengan permohonan ekstradisi beliau ke Sweden, akan muncul dalam program itu.
Mahkamah Agung Britain sedang mempertimbangkan sama ada Assange seharusnya dihantar ke Sweden untuk menghadapi dakwaan rogol dan serangan seksual ekoran aduan oleh dua wanita di Sweden.
Bagaimanapun Assange telah berulang kali menafikan ada melakukan kesalahan sedemikian.
Program 'The World Tomorrow' akan disiarkan secara serentak menerusi tiga saluran - Bahasa Inggeris, Arab dan Sepanyol.
Kesemuanya akan ada 12 siri dengan setiap satu akan membawa temu bual 26 minit dan telah disunting.
WikiLeaks memperoleh nama pada 2010 apabila ia mendedahkan maklumat mengenai perang di Iraq dan Afghanistan, dan disusuli dengan suku juta kabel Jabatan Negara.
Pada Februari lalu, ia mula mengeluarkan lima juta e-mel, yang dikatakan milik Stratfor, syarikat persendirian dari Texas yang menyediakan laporan-laporan risikan bagi pelanggannya.
[Sumber]
No comments:
Post a Comment