Ni apa ceritanya kat sini?

Neil Armstrong, manusia pertama ke bulan meninggal dunia

Neil Alden Armstrong (1930-2012)
Neil Alden Armstrong (1930-2012) 

Manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, Neil Alden Armstrong meninggal dunia pada usia 82 tahun, kata keluarga bekas angkasawan Amerika Syarikat (AS) berkenaan kelmarin. 

Armstrong menjalani pembedahan pintasan jantung awal bulan ini selepas dua hari beliau menyambut hari jadinya pada 5 Ogos lalu bagi membuka beberapa arteri yang tersumbat. 

Sebagai komander kapal angkasa Apollo 11, Armstrong merupakan manusia pertama menjejakkan kaki di bulan pada 20 Julai 1969 diikuti oleh angkasawan, Edwin Aldrin. 

Selain beliau dan Aldrin, misi ke bulan yang dilancarkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat itu disertai oleh seorang lagi angkasawan, Michael Collins. 

Peristiwa bersejarah tersebut ditonton oleh 500 juta orang di kaca televisyen di seluruh dunia. 

Semasa kali pertama melangkah di permukaan bulan yang berdebu, Armstrong berkata, "Langkah kecil ini (dirinya) merupakan langkah besar buat manusia sejagat."

Ungkapan tersebut kekal sebagai antara petikan bahasa Inggeris paling terkenal sehingga hari ini. 

Ketika itu, Armstrong berusia 38 tahun. 

Walaupun telah merealisasikan impian manusia yang mendambakan untuk menyentuh bulan sejak berkurun lamanya, Armstrong enggan meninggi diri berhubung pencapaian terhebat itu. 

Malah, beliau agak kecewa dengan sanjungan besar yang diterimanya. 

"Kita semua mahu diktiraf bukan kerana sesuatu pencapaian sahaja tetapi berdasarkan usaha yang kita lakukan pada setiap hari," kata Armstrong dalam temu bual bersama program televisyen terbitan CBS, 60 Minutes, pada 2005. 

Beliau juga pernah ditanya tentang perasaannya apabila mengetahui bahawa tapak kakinya di bulan akan kekal selama ribuan tahun. 

"Saya berharap seseorang akan pergi ke bulan suatu hari nanti dan membersihkan tapak-tapak kaki saya," katanya. 

Misi ke bulan itu merupakan misi angkasa lepas terakhir buat Armstrong. 

Beliau kemudian dilantik sebagai pentadbir bahagian aeronautik di NASA tetapi meninggalkan agensi berkenaan pada tahun berikutnya untuk mengajar kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Cincinnati. 

Beliau kekal di pusat pengajian tinggi berkenaan hingga tahun 1979 sebelum bersara untuk menjadi seorang petani dan penternak. 

Sepanjang tempoh tersebut, Armstrong memencilkan diri dan hanya bersetuju menerima beberapa undangan temu ramah atau syarahan. 

Dilahirkan di Wapakoneta, dalam negeri Ohio pada 5 Ogos 1930, Armstrong meminati kapal terbang sejak kecil lagi dan pernah bekerja di sebuah lapangan terbang berdekatan semasa meningkat remaja. 

Beliau mengambil kelas penerbangan ketika baru berusia 15 tahun dan memperoleh lesen juruterbang pada hari jadinya yang ke-16. 

Sebagai seorang juruterbang Tentera Laut AS, beliau pernah menyertai 78 misi penerbangan dalam Perang Korea. 

Armstrong kemudian belajar Kejuruteraan Aeronautik di Universiti Purdue sebelum memperoleh ijazah Sarjana Sains di Universiti California Selatan. 

Selepas berkhidmat sebagai juruterbang tentera laut dari 1949 hingga 1952, Armstrong menyertai agensi angkasa lepas AS yang ketika itu dikenali sebagai Jawatankuasa Penasihat Nasional Bagi Aeronautik (NACA) pada 1955. 

Beliau berkhidmat sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NACA dan kemudian NASA sepanjang tempoh 17 tahun. 

Sebagai juruterbang penyelidikan untuk Pusat Penyelidikan Penerbangan NASA di California, beliau menerbangkan banyak pesawat perintis berkelajuan tinggi AS. 

Armstrong mendapat status angkasawan pada 1962 dan menerajui misi Gemini 8 untuk berlabuh di angkasa lepas sebelum diberikan kepercayaan untuk mengetuai pengembaraan manusia ke bulan. 

Bekas angkasawan itu tinggal di sebuah kawasan di Cincinnati bersama isterinya, Carol. 

"Kami ingin berkongsi kesedihan untuk memberitahu bahawa Neil Armstrong meninggal dunia susulan komplikasi daripada pembedahan pintasan jantung," kata keluarganya dalam satu kenyataan. 

"Armstrong merupakan seorang suami, ayah, adik beradik dan rakan yang penyayang," tambah kenyataan tersebut. 

NEIL ARMSTRONG, Edwin Aldrin (kiri) dan Michael Collins (tengah) bergambar di Pejabat Oval di White House, Washington sempena sambutan 40 tahun pendaratan manusia di bulan pada 20 Julai 2009.
NEIL ARMSTRONG, Edwin Aldrin (kiri) dan Michael Collins (tengah)
bergambar di Pejabat Oval di White House, Washington sempena
sambutan 40 tahun pendaratan manusia di bulan pada 20 Julai 2009. 

Dalam perkembangan berkaitan Presiden AS, Barack Obama dan Edwin Aldrin turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga angkasawan legenda itu. 

"Armstrong merupakan antara wira AS yang paling unggul. Apabila beliau dan dua lagi angkasawan berlepas menaiki roket Apollo 11 pada 1969, mereka membawa bersama aspirasi seluruh rakyat negara ini," kata Obama. 

Aldrin pula berharap beliau, Armstrong dan Collins dapat bertemu pada tahun 2019 sempena sambutan 50 tahun misi Apollo 11 ke bulan. 

"Amat dikesali kerana harapan ini tidak akan tercapai. Semangat Armstrong akan kekal bersama kita semua," ujar Aldrin. 

"Saya akan merindui sahabat saya ini dan saya tahu rakyat AS dan penduduk di seluruh dunia akan terasa kehilangan perintis aviasi dan angkasa lepas ini," tambahnya. 

[Sumber


No comments:

Post a Comment

Kalau sudi, jenguklah sini :)

Blog Ping

Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...