Tweet |
JAKARTA 9 April - Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Arifinto terperangkap dengan lensa jurugambar media ketika asyik menonton video lucah semasa sidang DPR berlangsung di sini, Jumaat lalu.
Arifinto dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS) menonton video tersebut menerusi komputer tablet miliknya tanpa menyedari gelagatnya itu dirakamkan jurugambar akhbar Media Indonesia, Mohammad Irfan.
Beliau dilihat begitu khusyuk menonton video itu sambil menundukkan tubuh dan meletakkan komputer tablet di ribanya dan sesekali dilihat menyentuh skrin komputer itu ketika melayari halaman-halaman yang menampilkan aksi-aksi lucah.
Arifinto yang mengakui menonton video lucah ketika persidangan DPR berlangsung berkata, keadaan itu berlaku secara tidak sengaja kerana dia pada asalnya hanya mahu membaca e-mel yang dikirim.
Bagaimanapun, ketika mahu membuka kotak e-mel terdapat rangkaian yang disertakan bersama muncul secara tiba-tiba.
"Kerana ingin tahu apa kandungan rangkaian itu saya membukanya dan mendapati ia merupakan video lucah.
"Beberapa saat selepas itu saya terus memadamkan video itu," kata Arifinto mempertahankan dirinya pada sidang media sejurus menyedari aksinya dirakamkan.
Kenyataan Arifinto itu mengundang perdebatan apabila jurugambar yang merakamkan gelagat wakil rakyat itu memberitahu, dia dapat melihat dengan jelas wakil PKS itu memilih klip video lucah dari komputernya.
"Saya mempunyai bukti bahawa video yang ditonton Arifinto bukan dari rangkaian yang terdapat pada e-mel. Beliau mengambil masa selama dua minit memilih klip video yang berdurasi seminit itu, " ujar jurugambar berpengalaman itu lagi.
Sementara itu, Ketua DPR, Marzuki Alie menyifatkan tindakan Arifinto itu boleh menjejaskan reputasi wakil rakyat selain menyebabkan beliau dikritik secara terbuka di laman sosial Twitter oleh rakan-rakan dan musuh politiknya. - Mingguan
Petikan: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment