Ni apa ceritanya kat sini?

Tunas Manja Kerayong Terbakar



BERA - Bangunan Tunas Manja Kerayong yang turut disewa tujuh peniaga lain hangus dalam kebakaran, kira-kira jam 3 pagi semalam. 

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Triang, Manoharan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 3.21 pagi. 

Menurutnya, dua jentera bersama sembilan anggota bergegas ke tempat kejadian dengan bantuan dua lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dan Bomba Sukarelawan Kemayan. 

“Saya tidak pasti bila kebakaran itu berlaku tetapi semasa kami tiba di tempat kejadian, api sudah marak bermula dari tengah bangunan. 

“Memandangkan api marak, kerja memadamkan kebakaran dilakukan pada jarak 10 meter, tambahan pula semua kedai ditutup dengan pintu besi,” katanya kepada Sinar Harian. 

Manoharan berkata, 95 peratus bangunan berkenaan hangus dan tiada apa yang dapat diselamatkan. 

Katanya, kebakaran menyebabkan bahagian bumbung tengah bangunan jatuh ke dalam bangunan. 

Menurutnya, sehingga jam 11 pagi semalam, pihaknya masih melakukan kerja memadamkan bara api dalam setiap premis yang ada. 

“Walaupun api sudah berjaya dikawal tetapi masih kedengaran bunyi letupan kecil dalam bangunan ini. Kawasan ini akan ditutup sementara kepada orang awam sehingga keadaan dijamin selamat,” katanya. 

Pemilik kedai muzik dan cakera padat, Tan Ling Chee berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 4 pagi, menerusi panggilan telefon dari seorang kenalannya. 

“Saya bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan barang dalam kedai, tetapi apabila sampai, api sudah marak. Saya langsung tidak dapat mendekati kedai untuk keluarkan barang. 

“Saya kerugian kira-kira RM150,000, lebih-lebih lagi saya baru menerima stok baru untuk dijual,” katanya. 

Pemilik padang futsal tertutup, Khairul Najmi Ahmad berkata, walaupun premisnya terletak di hujung bangunan Tunas Manja, tetapi dia turut mengalami kerugian melebih RM100,000. 

Menurutnya, hampir 90 peratus barangan dalam premisnya hangus. 

“Apa yang saya usahakan lebih setahun lalu musnah sekelip mata. 

“Saya menyewa dua lot kedai di sini. Semua barang dalam kedai tidak dapat diselamatkan kecuali yang kelihatan tiang gol masih teguh berdiri,” katanya. 



[P/S: rujuk post berkaitan: Pasar Raya Musnah Dalam Kebakaran Di Bera


1 comment:

  1. Tunas manja terbakar

    Ada yang hilang tempat berbelanja
    ada yang hilang tempat bekerja

    http://lamanpahang.blogspot.com/2011/12/kebakaran-tunas-manja-bera-dan-sakan.html

    ReplyDelete

Kalau sudi, jenguklah sini :)

Blog Ping

Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...