Tweet |
Facebook, baru-baru ini mengumumkan satu aplikasi baharu yang berupaya memadamkan gambar dan mesej dalam masa 10 saat selepas ia dihantar, tanpa dapat dikesan semula oleh penghantar atau penerima selepas ia hilang.
Aplikasi tersebut merupakan versi terkini 'poke' yang pernah diperkenalkan Facebook sebelum ini.
'Poke' yang boleh digambarkan seperti mengangguk atau menggeleng kepala, tidak lagi digemari pengguna Facebook setelah beberapa lama laman sosial itu beroperasi.
Kini, aplikasi itu diperbaharui dengan nama 'Facebook Poke', membolehkan pengguna menghantar mesej, gambar dan video dalam tempoh 10 saat kepada rakan.
Mesej itu akan hilang selepas waktu yang ditetapkan, antara satu hingga 10 saat dan tidak boleh dikesan oleh penghantar atau penerima, menjadikan ia sangat berkesan untuk menghantar sebarang imej termasuk gambar lucah tanpa meninggalkan bukti.
"Dengan aplikasi 'poke' baharu, anda boleh menekan 'poke' yang membawa maksud bersetuju atau menghantar mesej, foto atau video kepada kenalan Facebook untuk berkongsi mengenai cerita semasa melalui kaedah yang lebih santai," menurut laman web itu ketika mengumumkan aplikasi baharu tersebut.
Apabila pengguna membuka aplikasi itu, mereka perlu memilih daripada set ikon di bahagian bawah skrin untuk menghantar 'poke', menaip mesej sepanjang 120 karakter, membuka kamera bagi mengambil gambar atau merakam video sepanjang 10 saat, namun tidak boleh mengambil gambar dari fail sedia ada.
Pengguna kemudian perlu menetapkan tempoh masa untuk penerima melihat mesej tersebut.
Aplikasi itu dikatakan menyamai 'Snapchat', aplikasi popular di kalangan pengguna muda dan terkenal sebagai alat untuk menghantar gambar tidak senonoh.
Facebook bagaimanapun, menggalakkan penggunanya melaporkan sebarang penghantaran mesej yang tidak sesuai di laman itu. [Sumber]
No comments:
Post a Comment