Tweet |
Gambar hiasan. (Sumber dari Google) |
Pihak berkuasa lapangan terbang di Jawa Timur dan Jawa Tengah minggu lalu merampas batu kecil yang dibawa jemaah haji dalam bagasi mereka untuk digunakan bagi tujuan melontar jamrah.
Mereka bimbang batu yang ada di Makkah tidak mencukupi untuk jutaan jemaah haji, lapor media, semalam.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pegawai keselamatan merampas sekarung batu yang disembunyikan beberapa jemaah dari Gresik dalam bagasi mereka, tetapi dikesan pihak berkuasa melalui pemeriksaan imbasan. Mereka turut menemui cobek (lesung batu) dan beberapa peralatan masakan di dalam bagasi tangan, lapor detik.com.
Di Lapangan Terbang Adisumarmo di Surakarta, Solo batu turut dirampas pegawai keselamatan yang curiga apabila mesin pengimbas menunjukkan “objek aneh” di dalam sesetengah bagasi tangan jemaah.
Pihak berkuasa lapangan terbang turut merampas objek larangan seperti gunting, alat potong kuku, pisau, madu, kicap dan losyen tangan.
Jemaah haji memerlukan antara 49 dan 70 butir batu untuk ibadah melontar jamrah bergantung kepada bilangan hari mereka akan berada di Mina. Bagaimanapun, batu untuk tujuan melontar sudah disediakan pihak berkuasa Arab Saudi.
Jurucakap Hal Ehwal Pengangkutan Haji, Syarif Hidayat berkata, kes jemaah membawa objek berbahaya dalam bagasi tangan semakin berkurangan setiap tahun. Kebanyakan jemaah sudah menyimpan barangan peribadi mereka dalam bagasi didaftar masuk dan tidak membawanya ke dalam kabin pesawat.
[Sumber]
No comments:
Post a Comment