Tweet |
Mahu sumbangan darah wanita dara
Beijing: Tindakan sebuah hospital di sini meminta sumbangan darah daripada wanita sihat yang masih dara untuk kegunaan penyelidikan perubatan dikecam dan disifatkan sebagai menghina wanita.
Media kerajaan semalam melaporkan Hospital Kanser Universiti Peking berkata, ia memerlukan darah 100 wanita masih dara berusia antara 18 hingga 24 tahun untuk kajian mengenai virus papilloma manusia (HPV) yang biasanya dijangkiti melalui hubungan seks, lapor China Daily.
Beberapa pengguna Internet mengutuk tindakan itu dengan menganggapnya mempromosikan upacara pemujaan dara dan merendahkan martabat wanita.
“Lelaki yang masih teruna tidak diperlukan, hanya perempuan, adakah ini sains?” tulis seorang pengguna di Sina Weibo, khidmat media sosial seperti Twitter dan forum tempatan untuk pendapat popular.
Hospital terbabit mempertahankan tindakannya, mengatakan darah wanita yang masih dara kurang dijangkiti HPV.
“Ia selaras dengan amalan antarabangsa untuk mendapatkan sumbangan sampel darah wanita dara yang berperanan sebagai bahan pengawalan dalam penyelidikan HPV, berikutan risiko dijangkiti HPV adalah rendah di kalangan wanita yang tidak pernah melakukan seks,” kata jurucakapnya Guan Jiuping.
Menurutnya, pihak berkuasa hospital akan merekodkan status seksual penderma.
Sesetengah pengguna Internet membela tindakan hospital itu apabila seorang pengguna berkata: “Mereka yang mengutuk itu biasanya golongan yang tidak memahami keseluruhan cerita.
“Belajar dulu sains dan rasionalnya daripada hanya tahu mengkritik orang lain.”
Dara bagi kaum wanita secara tradisional dilihat sebagai prasyarat untuk perkahwinan di China dan hari ini ramai lelaki China masih memilih isteri yang masih dara.
Kepentingannya ditambah dengan amalan seks tanpa perkahwinan yang semakin terbuka sejak berdekad lalu meningkatkan pertumbuhan pasaran untuk selaput dara dan pembedahan seumpamanya yang membolehkan wanita tampil seperti masih dara. [Sumber]
No comments:
Post a Comment