SEORANG pekerja sukarela melihat model bandar raya
Metropolis II di Muzium Seni Los Angeles kelmarin.
LOS ANGELES - Seorang artis terkenal, Chris Burden (gambar kecil) mencipta model bandar raya Metropolis II yang mempunyai 1,100 kereta mini dan pelbagai bentuk bangunan.
Burden menunjukkan hasil kerjanya itu di Muzium Seni Los Angeles di sini dalam satu pameran yang diadakan sehingga 14 Januari depan.
Model itu mempunyai 25 buah bangunan besar, 18 laluan trafik, 13 kereta api, 18 jalan raya dan seorang pengendali manusia.
Kereta mini itu bergerak pada kelajuan kira-kira 386 kilometer sejam di sistem laluan jalan raya.
Burden berkata kepada stesen televisyen ABC baru-baru ini bahawa kereta itu boleh berlanggar sesama sendiri.
Kereta itu bergerak kerana terdapat daya tarikan magnet. - Agensi
Bangunan Hotel Ark setinggi 30 tingkat yang mencipta rekod berjaya disiapkan dalam masa 15 hari. - AGENSI
BEIJING 9 Jan. - Sebuah syarikat pembinaan China, sekali lagi mencatat rekod dunia apabila berjaya menyiapkan pembinaan bangunan hotel setinggi 30 tingkat hanya dalam tempoh 15 hari atau 360 jam.
Hotel Ark, seluas 17,000 meter persegi yang dibina oleh Broad Group, syarikat pakar seni bina, siap dalam 15 hari selepas sebelum ini mencipta rekod membina bangunan hotel setinggi 15 tingkat juga dalam tempoh 15 hari.
Apa yang lebih menarik, bangunan itu berjaya disiapkan tanpa sebarang kecederaan di kalangan pekerja dan ia mampu bertahan dalam gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter.
Semua bahan yang digunakan adalah daripada jenis pasang siap di mana bahan-bahan binaan terlebih dahulu diproses di kilang dan pekerja hanya perlu menyambungkan komponen-komponen tersebut untuk menjadikannya satu bangunan.
Untuk menyiapkan struktur komponen utama, ia hanya mengambil masa 46 jam dan tempoh 90 jam lagi digunakan untuk menyiapkan bahagian luaran.
Struktur bangunan itu juga kalis bunyi dan mampu menebat arus udara panas, selain mempunyai pemantau kualiti udara di setiap bilik hotel. - AGENSI