Sepasang tulang dinasour yang 'bermusuh', Allosaurus dan Stegasaurus
dijual kepada sebuah muzium pada harga AS$2.75 juta (RM8.33 juta).
DALLAS - Tulang dua ekor dinasour yang lengkap dan berkualiti tinggi telah dilelong, sebelum berjaya dijual kepada sebuah muzium pada harga AS$2.75 juta (RM8.33 juta).
Dilelong oleh rumah lelongan Heritage Auctions, tulang dua ekor dinasour yang setinggi 5.79 meter itu adalah daripada keluarga dinasour triceratops.
Diperoleh daripada seorang pengumpul pada harga AS$657,250 (RM1.9 juta), dinasour Allosaurus dan Stegasaurus dikatakan bermusuh kerana rahang Allosaurus ditemui di bahagian kaki Stegasaurus, sekali gus membawa teori dua pemangsa itu terlibat dalam pergaduhan.
Lelongan yang berlangsung di Dallas tersebut melibatkan lebih 200 barangan. Antaranya batu meteorit, mineral dan fosil-fosil.
Heritage Auctions enggan mendedahkan muzium mana yang membeli tulang dinasour itu. Ia bagaimanapun menyatakan muzium tersebut terletak di luar Amerika Syarikat (AS).
"Saya gembira kerana pasangan dinasour ini mendapat 'rumah' yang baru. Ia merupakan spesimen era Jurassic yang ikonik dan penting. Kini, ia akan pergi ke destinasi terakhir dan orang ramai berpeluang melihatnya secara dekat," kata pengarah sejarah semula jadi Heritage Auctions, David Herskowitz. - Agensi
DAVID KENT (kiri) bergambar bersama seekor ikan air tawar gergasi
yang berjaya ditangkapnya di sebuah tasik di Krabi, Thailand baru-baru ini.
TENBY, Wales - Seorang penduduk Wales, David Kent menggunakan jagung manis sebagai umpan untuk menangkap seekor ikan air tawar gergasi dengan berat lebih lebih 118 kilogram (kg) di sebuah tasik di Krabi, Thailand, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kent, 54, yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Britain menghabiskan masa selama sejam untuk menaikkan ikan sepanjang dua meter itu.
Dua lelaki membantu dia memegang ikan tersebut yang 32kg lebih berat daripada rekod sebelum ini.
Dia menangkap ikan itu semasa bercuti di Krabi bersama dengan isterinya.
Kent berkata: "Ikan itu mungkin terlalu lapar kerana ia memakan secebis kecil jagung (yang dijadikan umpan)."
Ikan itu kemudian dilepaskan ke dalam tasik selepas gambar haiwan itu dirakamkan sebagai bukti penangkapan.
Kent dan isterinya kemudian memeriksa rekod tangkapan air tawar dan mendapati rekod terdahulu hanya seberat 86.18kg. - Agensi
SEMUA bangunan di bandar Juzcar, Sepanyol dicat dengan warna biru.
MADRID - Bandar Juzcar di selatan Sepanyol dicat dengan warna biru termasuk gereja bagi meraikan pelancaran filem Smurfs yang dibintangi penyanyi Katy Perry.
Sebanyak 4,200 liter cat dan tenaga 12 penduduk tempatan digunakan untuk mengecat rumah dan bangunan di bandar tersebut sejak kelmarin.
Seramai 250 orang tinggal di bandar itu manakala Datuk Bandar Juzcar, David Fernandez Tirado berkata, orang ramai sudah menggelarkannya Papa Smurf.
Syarikat Sony yang mengeluarkan filem tersebut memilih bandar berkenaan sebagai lokasi tayangan perdana The Smurfs 3D pada 16 Jun ini.
Smurfs merupakan cerita kartun mengenai makhluk kerdil berwarna biru yang disiarkan buat kali pertama di televisyen pada 1981.
Ia disiarkan 30 tahun selepas pelukis kartun dari Belgium, Pierre Culliford menghasilkan komik smurfs. - Agensi