SEBUAH pesawat Airbus A380 milik syarikat Emirates diletakkan di lapangan terbang khas itu kelmarin.
Lapangan terbang khas untuk pesawat gergasi dua tingkat Airbus A380 telah dibuka sepenuhnya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Pesawat itu boleh membawa 525 orang penumpang menyebabkan beberapa lapangan terbang di dunia terpaksa melakukan pengubahsuaian bagi membolehkan ia mendarat.
GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan sebuah gerabak
diletupkan untuk tujuan kajian oleh sekumpulan penyelidik
Universiti Newcastle.
Beberapa penyelidik di Pusat Penyelidikan Rel, Universiti Newcastle, Britain meletupkan beberapa gerabak kereta api yang tidak lagi digunakan baru-baru ini.
Tren itu diletupkan dengan tujuan untuk menyaksikan serpihan gerabak tersebut berterbangan.
Letupan tersebut dirakamkan menerusi kamera.
Kumpulan penyelidikan itu pernah menyatakan mereka mereka berjaya menghasilkan gerabak yang boleh mengurangkan bilangan kematian dan kecederaan penumpang jika berlaku serangan pengganas.
Pengurangan kecelakaan itu boleh dilakukan menerusi penggunaan tingkap plastik bagi mengelak kaca berterbangan apabila gerabak dibom pengganas. [Sumber]
SUPER Sky Cycle ini bergerak dengan kelajuan maksimum
56 kilometer sejam di udara atau 105 kilometer sejam di jalan raya.
AUSTIN (Texas): Terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas bukan lagi halangan untuk Larry Neal dan masalah itu tinggal kenangan sejak dia menggunakan kenderaan roda tiga bermotor.
Menurut Neal, kenderaan unik itu membolehkan dia bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa berdepan kesesakan.
Apa yang perlu, katanya, cuma hidupkan enjin dan terbang ke destinasi pilihan.
LONDON: Kereta luar biasa baru ini, ‘Extra Terrestrial Vehicle’ sudah pasti dikagumi peminat sains fiksyen.
Kenderaan futuristik ini yang berharga £75,000 (RM375,000), dikenali juga dengan ETV adalah berdasarkan platform yang sama dengan kereta Chevrolet biasa.
Tetapi di situ sajalah persamaannya. ETV yang berinspirasikan sains fiksyen kelihatan lebih daripada kereta biasa di jalan raya.
Pemandangan dari luar bas terpanjang di dunia yang bakal diperkenalkan di Jerman Oktober ini.
Jerman bakal memperkenalkan bas awam terpanjang di dunia, Autotram Extra Grand 98 kaki (32.6 meter) panjang dan mampu memuatkan 256 penumpang pada satu-satu masa.
Ia akan digunakan mulai Oktober ini selepas tamat ujian keselamatan.
Bas tersebut yang digambarkan sebagai ‘kereta api beroda’ itu diperkenalkan buat pertama kali di bandar Dresden, dijangka dapat memenuhi keperluan sistem pengangkutan awam negara itu.
LONDON - Hampir 100 tahun selepas kapal Titanic karam, sebuah kapal pesiaran mewah, MS Balmoral dengan jumlah penumpang yang sama memulakan pelayaran semalam.
Kapal itu belayar dengan mengikut laluan yang sama Titanic dari pelabuhan di Southampton.
Ia membawa 1,309 penumpang.
Kapal itu turut menuju ke lokasi Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912 di Lautan Atlantik. Titanic karam semasa pelayaran sulung menuju ke New York, Amerika Syarikat.
Pelayaran selama 12 malam itu adalah sempena ulang tahun ke-100 tragedi kapal terbabit.
Pelayaran kapal nelayan Jepun, Ryou-Un Maru berakhir di perairan Alaska kelmarin apabila ia ditenggelamkan dengan menggunakan bedilan meriam dari kapal Pengawal Pantai AS.
Kapal sepanjang sekitar 50 meter itu hanyut di Lautan Pasifik sehingga ke perairan Alaska ekoran bencana tsunami yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac tahun lalu.
Seorang pegawai pengawal pantai, Kip Wadlow dalam satu kenyataan memberitahu, 'kapal hantu' itu terbakar dan tenggelam dalam tempoh empat jam.
Ia tenggelam ke dasar laut pada kedalaman lebih 1,830 meter, 290 kilometer ke barat daya perairan Alaska.
Pihak berkuasa AS memutuskan untuk menenggelamkan kapal berkenaan bagi mengelakkan ia membahayakan kapal-kapal lain. - Agensi
KATIL untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat Boeing 787 baharu yang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura di Singapura semalam.
SINGAPURA - Pesawat penumpang baharu Boeing 787 Dreamliner mempunyai ruang rehat untuk juruterbang tidur di belakang kokpit pesawat itu.
Ia juga mempunyai ruang rehat yang sama untuk kru penerbangan lain seperti pramugara dan pramugari.
Menurut laporan Bernama, pesawat Dreamliner itu mempamerkan keupayaan jarak jauhnya beberapa hari lepas, terbang tanpa henti dari Boeing Field di Seattle, Amerika Syarikat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok dengan jarak 12,358 kilometer.
Pesawat itu yang membawa hampir 300 penumpang dipamerkan pada Pertunjukan Udara Singapura yang bermula esok sehingga 17 Februari depan. - Agensi
NEW DELHI - Pengeluar kereta Bajaj Auto di India mendedahkan sebuah kereta berkuasa 200cc yang hanya mengeluarkan 60 gram karbon dioksida bagi setiap kilometer.
Kereta itu yang dinamakan RE60 yang bergerak sejauh 35 kilometer bagi setiap satu liter petrol akan memasuki pasaran kenderaan berharga murah di negara ini.
Namun, harga kereta itu tidak didedahkan oleh Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj.
Kereta itu untuk dinaiki seramai empat orang yang mempunyai kelajuan 70 kilometer sejam dan berat hanya 400 kilogram.
Ia dibina khas untuk kegunaan pengguna bandar. - AFP
Sebahagian kereta Honda yang rosak akibat banjir dikumpulkan untuk dilupuskan
di kilang Honda di Ayutthaya, wilayah tengah Thailand, semalam. - AGENSI
BANGKOK 27 Dis. - Pengeluar kereta Jepun, Honda hari ini mula melupuskan sebanyak 1,055 kereta jenama itu yang terjejas semasa banjir melanda Thailand, baru-baru ini bagi memastikan tidak ada kereta yang rosak dijual kepada pengguna.
Syarikat tersebut dalam satu kenyataan berkata, proses melupuskan kereta-kereta itu di loji Honda di wilayah Ayutthaya, akan mengambil masa sebulan.
Loji tersebut terletak di Taman Industri Rojana, lokasi yang terjejaas teruk akibat banjir yang melanda pada awal Oktober lalu sehingga menyebabkan operasi pengeluaran kenderaan itu terpaksa dihentikan.
Gambar pemandangan dari udara yang diambil semasa banjir melanda di kawasan itu merakamkan kereta-kereta baru di loji itu ditenggelami banjir lumpur.
"Walaupun kami sempat memindahkan kereta-kereta baru ke kawasan yang selamat, sebanyak 1,055 kereta di loji ini terjejas akibat banjir lumpur.
"Kami tidak akan menjual kereta yang rosak ini kepada pelanggan. Alat ganti kereta juga tidak akan dijual atau digunakan semula," kata Naib Presiden Eksekutif Honda Automobile Thailand, Pitak Pruittisarikorn.
Kebanyakan kereta yang akan dilupuskan merupakan kereta jenama Honda City sedan, Honda Brio dan Honda Jazz 'hatchbacks'.
Operasi pengeluaran kenderaan itu dari kawasan itu masih belum disambung lagi buat masa ini.
Thailand awal bulan ini melaporkan, seramai 700 maut dalam banjir tersebut yang menjejaskan 65 daripada 77 wilayahnya dan memaksa penutupan tujuh taman industri utama, sekali gus menjejaskan bekalan produk dunia.
Walaupun banjir telah surut sepenuhnya, banyak kawasan masih belum pulih dan masih perlu dibersihkan. - AFP
ZHANG YALI menguji basikal gergasi ciptaannya di luar
sebuah rumah gudang yang disewa di Jilin, China kelmarin.
JILIN, China - Seorang bapa, Zhang Yali menghabiskan masa selama dua bulan untuk mencipta sebuah basikal gergasi bersama seorang rakannya di sini.
Yali yang berusia 49 tahun mencipta basikal itu sebagai hadiah untuk anak lelakinya yang berusia 25 tahun dan bekerja sebagai kartunis sambilan di Shenzhen, wilayah Guangdong.
Basikal itu setinggi 3.2 meter dan panjang 5.5 meter.
Yali membelanjakan lebih 20,000 yuan (RM9,970) untuk mencipta basikal seberat lebih satu tan itu.
Menurut keluarga Yali, mereka akan mengayuh basikal itu dari Jilin ke Shenzhen. - Reuters
DEK penerbangan kapal angkasa Shuttle Atlantis dipenuhi butang dan skrin.
WASHINGTON, Amerika Syarikat - Koleksi gambar kokpit kapal angkasa Shuttle Atlantis milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) didedahkan buat pertama kali kepada umum, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Ia menunjukkan suasana kompleks di dalam kokpit tersebut yang dipenuhi susunan butang, tombol dan skrin.
Program kapal angkasa Shuttle NASA berakhir pada Julai lalu dengan Atlantis akan dipamerkan di Pusat Angkasa Kennedy, negeri Florida, bermula penghujung 2012.
Namun, para pengunjung tidak akan dibenarkan untuk masuk ke dalam kokpit tersebut. - Agensi
SEORANG model bergaya dalam kereta Red Gold Dream SLR
yang dihiasi emas dan batu delima.
GENEVA, Switzerland - Seorang usahawan Switzerland, Ueli Anlicker mahu menjual sebuah kereta Mercedes-Benz SLR McLaren miliknya yang berhias emas dan delima pada harga AS$11 juta, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Kerja pengubahsuaian kereta unik itu yang dinamakan Anliker McLaren SLR 999 Red Gold Dream, mengambil masa 30,000 jam dengan kos AS$4.3 juta.
Menurut Anlicker, dia menerima tawaran daripada beberapa pembeli dari Asia Barat dan China untuk kereta tersebut.
Kenderaan itu turut dihias dengan emas 14 karat dan 500 butir batu delima sekali gus menjadikan ia unik.
Setiap rim tayar kereta itu bersadur emas 24 karat, begitu juga kerangka lampu dan bahagian ambang pintu.
Kereta itu dijana enjin berkapasiti 5.4 liter yang diubah suai untuk menjana 999 kuasa kuda. Ia memiliki kelajuan lebih 336 kilometer sejam. - Agensi
BEBERAPA anggota polis melakukan siasatan ke atas tiga buah
kereta sport mewah yang terlibat dalam perlanggaran melibatkan
14 buah kenderaan di lebuh raya Chugoku, Shimonoseki kelmarin.
TOKYO - Lapan buah kereta sport Ferrari, sebuah Lamborghini dan dua buah kereta Mercedes berlanggar di sebuah lebuh raya di Shimonoseki, tenggara Jepun kelmarin.
Menurut agensi berita AP, polis menyatakan perlanggaran itu disebabkan salah seorang pemandu sebuah Ferrari itu cuba untuk mengubah laluan sebelum kereta tersebut merempuh penghadang jalan.
Kereta Ferrari itu kemudian berpusing di lebuh raya tersebut.
Beberapa buah kereta lain berlanggar kerana cuba mengelak Ferrari tersebut.
Tiada seorang yang cedera serius dalam nahas itu tetapi polis di wilayah Yamaguchi menyatakan 10 orang dirawat kerana mengalami luka.
Menurut polis, 14 buah kereta terlibat dalam nahas itu.
Agensi berita AFP melaporkan bahawa kos perlanggaran itu melibatkan 300 juta yen (RM12.07 juta).
Harga kereta baharu Ferrari ialah lebih 20 juta yen (RM804,794) manakala Lamborghini berharga sehingga 30 juta yen (RM1.20 juta). - Agensi
PEKERJA-PEKERJA sibuk memasang lantai gelanggang bola
keranjang di atas dek kapal induk USS Carl Vinson pada Selasa lepas.
SAN DIEGO, Amerika Syarikat (AS) - Selepas digunakan untuk mengangkut jenazah Osama bin Laden, kapal induk USS Carl Vinson sekali lagi menjadi tumpuan. Kali ini sebagai gelanggang perlawanan bola keranjang kolej AS.
Seramai 7,000 penonton termasuk Presiden AS, Barack Obama dijangka menonton perlawanan tersebut di atas kapal induk berkenaan yang berlabuh di sini.
Setakat semalam, kerja-kerja menukar dek kapal gergasi berkenaan menjadi sebuah stadium bola keranjang sudah selesai.
Pasukan Universiti Negeri Michigan akan menentang pasukan Carolina Utara dalam perlawanan yang dijadual berlangsung hari ini. - AFP