Ni apa ceritanya kat sini?

Kewujudan 'Thames Town', bandar Inggeris di China


Bagai berada di Britain 

China terkenal dengan kepakarannya menghasilkan barangan tiruan, khususnya pakaian berjenama dan barangan elektronik canggih. Namun, ada yang lebih hebat dihasilkannya. 

Dengan bangunan reka bentuk Tudor, pondok telefon merah, gereja Gothic, penempatan itu kelihatan seperti di sebuah bandar di Britain. Namun sebenarnya, ia berada di Republik Rakyat China. 

Bagaimanapun, tidak seperti kebanyakan tempat di United Kingdom (UK), populasi bandar itu semakin berkurangan. ‘Bandar Thames’, kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Shanghai, boleh dianggap sebagai bandar hantu. 

Penempatan luar biasa itu, satu daripada pelbagai bandar raya Barat yang ditiru pemaju China, dibuka pada 2006 sebagai replika sebuah bandar kecil di UK. 

Pemaju hartanah tempatan membina bandar itu di Songjiang yang asalnya sebuah kawasan pertanian dengan membangunkan bangunan dengan gaya seni reka Victoria, Georgia dan Tudor. 


Bangunan tradisional Inggeris dan pub serta kedai ditiru dalam usaha mewujudkan semula gaya hidup masyarakat Britain. Ia termasuk membina sebatang sungai tiruan untuk menjadi replika Sungai Thames. 

Ia turut berbangga dengan replika anggota pengawal Ratu yang meronda serta patung Winston Churchill dan Harry Potter. 

Ketika Bandar Thames dibina, James Ho, ketua Syarikat Hartanah Shanghai Hende, antara yang bertanggungjawab membangunkannya berkata: “Saya mahu hartanah yang kelihatan serupa dengan yang ada di UK. 

“Bagi saya, hartanah Inggeris sangat istimewa. Apabila kita mengambil keputusan untuk belajar daripada yang lain, kita tidak boleh membina sesuatu yang lebih baik atau mengubahnya.” 

Kebanyakan bangunan di bandar itu adalah kawasan perumahan dengan populasi rendah, rumah banglo serta jumlah premis perniagaan atau kemudahan komuniti yang sedikit. 

Sebahagian daripada seni bina itu ditiru secara langsung daripada bangunan di England, termasuk gereja yang meniru model Christ Church di Clifton Down, Bristol, sebuah pub dan kedai makanan yang ditiru daripada bangunan di Lyme, Regis, Dorset, dan The Cross di Chester. 

Rumah yang dibina itu dijual sekelip mata dan kebanyakan pembelinya adalah golongan kaya yang membelinya sebagai pelaburan atau rumah kedua. Ia menyebabkan harga rumah di kawasan itu meningkat secara mendadak. 

Walaupun kini hanya segelintir tinggal di situ, kawasan itu tetap menggamit pelancong yang ingin merakam gambar seni bina gaya Inggeris. 

Pasangan yang baru berkahwin khususnya pergi ke bandar itu untuk merakam gambar di depan gereja yang mempunyai senario mengagumkan dan dataran utama. 

Bagaimanapun, penolakan masyarakat China terhadap Bandar Thames tidak menyekat arkitek China daripada meneruskan kegiatan meniru kawasan terkenal di Barat. 

Klon terkenal yang lain ialah Gereja Ronchamp di Perancis, Menawa Eiffel di Paris dan seluruh bandar Hallstatt di Austria. 


Dan Januari lalu, keinginan untuk membina bangunan klon semakin menjadi-jadi apabila arkitek meniru struktur yang direka oleh pereka Barat di negara mereka sendiri. 

Arkitek Britain, Zaha Hadid berkata, dia merancang mengambil tindakan undang-undang selepas bangunan Wangjing Soho di Beijing yang direkanya ditiru oleh mereka yang digelarnya ‘arkitek lanun’ di bandar raya Chongqing. 

Zaha mulanya tidak kesah dengan aktiviti meniru bangunan dengan berpendapat ia lebih menarik jika bangunan klon itu menunjukkan rekaan lebih inovatif berbanding yang asli. 

“Tak kesah jika ia diambil daripada perigi yang sama, tetapi bukan daripada timba yang sama,” katanya. 

Peguam Nigel Calvert berkata: “Kami akan menuntut mereka menghentikan pembinaan serta-merta, mengubah bahagian luar bangunan itu, memohon maaf secara terbuka dan membayar pampasan.” 

Satu lagi contoh menggelikan hati mengenai pengklonan seni bina China ialah versi Jambatan Menara London yang dibina di bandar raya Suzhou di timur negara itu. 

Model China itu mempunyai bilangan menara lebih sekali ganda berbanding versi jambatan yang merentasi Sungai Thames di London. 

Namun, contoh paling terkenal hasil seni bina yang ditiru oleh arkitek China ialah replika bandar Hallstatt, kawasan peranginan terkenal Austria yang dibina di bandar Huizhou di selatan China. 

Tidak ada yang ditinggalkan. Bangunan asli Alpine itu ditiru dan dihasilkan semula dengan begitu baik sekali. 

Kereta kuda dan burung merpati putih akan diimport untuk meniru keasliannya. Harganya juga menakjubkan. Sebuah rumah di tepi tasik ditawar pada harga antara RM1 juta dan RM2.5 juta, jauh lebih tinggi daripada yang asli di Austria. [Sumber



No comments:

Post a Comment

Kalau sudi, jenguklah sini :)

Blog Ping

Blogger Tips And Tricks|Latest Tips For Bloggers Free Backlinks
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...